Cinta. Cinta jika dilihat pada hari ini merupakan satu mantera yang sinonim dengan perlakuan remaja terutamanya yang suka akan gaya hidup berpasang-pasangan. Ada yang mengatakan bahawa jika kita hidup tidak berpasangan pada zaman ini, seakan hidup tak ikut trend, budak nerd dan sebagaiya. Sangkaan itu semuanya meleset dan tidak benar sama- sekali.
Secara zahirnya cinta dan couple dilihat seakan sama. Bukan hanya kedua-dua perkataan tersebut bermula dengan huruf ‘c’, malah ramai diantara kita pada zaman ini menganggap kedua-dua perkataan itu membawa maksud yang sama. Perkara ini harus diperbetulkan dalam komuniti kita.
Cinta pada pandangan saya merupakan satu kalimah yang agung. Perasaan ini sebenarnya lahir daripada hati yang halus. Tambahan pula cinta merupakan satu fitrah yang ada dalam diri manusia. Memang setiap makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T mempuyai perasaan mahu menyayangi dan mahu disayangi oleh orang lain. Itu merupakan satu aturan kehidupan.
Sebenarnya, agama Islam tidak melarang penganutnya untuk bercinta. Islam itu bukan hanya sekadar agama yang menyentuh aspek kegiatan ibadah sahaja. Islam itu syumul. Islam itu menakluki segala kehidupan kita kerana islam juga merupakan satu cara hidup. Percintaan antara teruna dan dara perlu dibatasi dengan hukum syariat yang ketat.
Cara teruna dan dara bercinta ada banyak. Yang menjadi asas dalam sesuatu percintaan itu merupakan komunikasi dan perhubungan. Tidak kira dalam lisan, sentuhan ataupun pemandangan, semua itu berkait dengan soal hukum. Seperti yang saya katakan tadi, percintaan tidak menjadi salah, asalkan kita tahu batas syariat. Islam mementingkan kesucian hubungan sebelum berkahwin. Jika kita bercinta, insyaAllah kalau ada jodoh, kita akan berkahwin. Apabila kita sudah berkahwin, InsyaAllah kita akan mendapat zuriat, apabila zuriat bertambah, bukankah itu membentuk sebuah komuniti?
Hal ini berbeza dengan kegiatan couple yang semakin menjadi barah dalam kalangan remaja hari ini. Budaya seakan ini haruslah dibendung kerana sejarah telah membuktikan bahawa kegiatan ini telah banyak membawa keburukan dan mengundang masalah sosial seperti sumbang mahram dan zina. Islam cukup melarang kita daripada bercouple. Apatah lagi menzahirkan perasaan cinta kita kepada orang asing. Luahan perasaan kepada orang asing sudah dianggap perkara yang mendekati zina. Jika kamu menyayangi seseorang, kamu hendaklah bertegas dalam aspek ini. Jagalah kesucian dan kehormatannya.
Seterusnya kalimah cinta itu luas. Terdapat banyak definisi yang membicarakan soal cinta. Kita sebenarnya yang menentukan makna cinta. Jika baik perlakuan kita maka cinta akan menjadi sesuatu yang agung. Begitu juga sebaliknya. Harus difahami cinta sebenarnya adalah cinta yang menjauhkan diri pasangan daripada dosa. Cinta yang sejati adalah cinta yang dapat menjaga kesucian iman dan membawa ke syurga.
Cinta tidak mampu untuk memenangkan segala-galanya. Cinta tidak membawa segala kesempurnaan hadir ke sisi. Tetapi ia mengajar kita menerima sesuatu seadanya. Cinta bukan semestinya bersama. Cinta itu untuk memastikan orang yang disayangi bahagia dan jauh daripada dosa.
Tuntasnya cinta dan couple merupakan satu perkataan yang berbeza. Ayuhlah kita renungkan seketika. Hanya kerana kegiatan couple dan cinta nafsu berjiwa rendah, maruah diri tergadai, anak luar nikah bertaburan dan runtuhnya institusi kemasyarakatan.
Tetapi hanya dengan perkataan cinta, kita dapat mengenal Pencipta kita. Dengan perkataan cinta, kita dapat mengenal para anbiya’. Dan dengan kalimah yang agung ini, kita dapat mengeratkan lagi simpulan silaturrahim antara kita dan keluarga kita.
Fikirkan.....Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pernah bersabda.
Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara, iaitu kerana kecantikannya, keturunannya, hartanya dan ketakwaannya. Maka pilihlah kerana ketakwaannya. Nescaya selamat kedua-dua tanganmu.
Barang siapa yang mengahwini wanita kerana kecantikannya, maka akan diharamkan ke atasnya, hartanya dan kecantikannya.
Pilihlah tempat menyemai benih kamu kerana keperibadian pasangan kamu akan mempengaruhi zuriatmu....
Jadi fikirkanlah. Kita memilih pasangan kita disebabkan apa?