Alhamdulillah bertemu lagi kita dalam sesi ini.. Hari ini imah nak kongsi mengenai hargai masa.. isi pati ilmu ni imah amik dari satu laman sensawang. so, imah harap dapat beri manfaat kat korang laa ye.
بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Alhamdulillah kerana dapat lagi
bernafas dan bertemu.
Pada hari ini terkenang pula akan Khutbah Jumaat dua minggu lepas yang
menyentuh mengenai MASA.
Kita semua tahu akan betapa berharganya masa kepada kita semua. Sebagai
perkongsian buat pedoman dan ingatan... Bersama kita hayati akan khutbah
Jumaat berikut yang menyentuh mengenai masa dan umur manusia.
Khutbah Jumaat: "Masa: Umur Manusia"
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT
dengan sedaya upaya mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan
segala larangan-Nya. Mudah mudahan kita tergolong dalam golongan
orang-orang yang muttaqin.
Pada hari yang mulia ini marilah kita mendengar dan menghayati khutbah yang bertajuk
“MASA; UMUR MANUSIA”.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Masa merupakan harta yang paling bernilai bagi manusia. Ia berlalu
dengan begitu pantas. Tanpa disedari usia kita semakin meningkat dari
tahun ke tahun.
Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya
‘Al-Waqtu Fi Hayatil Muslim’
telah menggariskan 4 ciri masa iaitu yang pertama, masa itu pantas
berlari. Kedua, masa yang pergi tidak akan kembali. Ketiga, masa yang
berlalu tidak boleh ditukar ganti dan keempat, masa merupakan harta yang
paling berharga. Itulah yang dimaksudkan masa adalah umur kita.
Oleh itu tidak hairanlah, banyak pepatah Arab dan Melayu yang membicarakan tentang masa seperti
‘Masa itu emas’,
‘Masa ibarat pedang , jika kita tidak memotongnya, ia akan memotong kita’ dan lain-lain. Kesemua ini menunjukkan kepada kita akan kepentingan masa dalam kehidupan.
Sidang Jumaat yang dirahmati oleh Allah SWT,
Setiap orang diberikan masa sebanyak 24 jam sehari semalam. Dari zaman
Rasulullah SAW, para sahabat radiallahu anhum, ulama salaf dan khalaf,
sampailah ke zaman moden hari ini, ia tetap tidak berubah.
Imam as-Syafie rahimahullah telah membahagikan masanya kepada tiga
bahagian. Satu pertiga untuk beribadat, satu pertiga untuk berehat dan
satu pertiga lagi untuk bekerja.
Rasulullah SAW sendiri selaku pemimpin negara, meluangkan masa malamnya
untuk qiamullail sehingga bengkak kakinya. Apabila ditegur oleh
isterinya, Saidatina Aisyah RA, baginda menjawab :
“Salahkah sekiranya aku ingin menjadi hamba yang bersyukur”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Namun persoalannya mengapa kita sering merasakan tidak cukup waktu untuk
menyelesaikan segala kerja dan ibadah seharian? Mengapakah kualiti masa
kita berbeza dengan kualiti masa Rasulullah SAW dan para sahabat?
Sedangkan kita diberikan ruang dan tempoh masa yang sama.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Masa yang ada harus diuruskan dengan sebaik-baiknya. Setiap daripada
kita diberikan tempoh masa yang sama, sehari semalam. Tidak berkurang
dan tidak berlebih walau sesaat sekalipun.
Peri pentingnya peranan masa ini dapat dilihat melalui pengaturan amalan
ibadah yang disusun berdasarkan konsep masa dan waktu yang tertentu.
Contohnya ibadah solat difardhukan mengikut waktu-waktu seperti subuh,
zuhur, asar, maghrib dan isyak. Ibadah puasa difardhukan di bulan
Ramadhan dan ibadah haji pula di bulan-bulan yang telah ditentukan.
Sekiranya ibadahibadah ini dikerjakan sebelum atau pun melepasi
waktunya, maka ia dikira
sebagai tidak sah.
Sekiranya kita membuka lembaran al-Quran, kita akan mendapati bahawa
Allah SWT banyak bersumpah dengan masa. Contohnya dalam surah
al-Asr (ayat 1-3), surah ad-Dhuha (ayat 1-2), surah al-Lail (ayat 1-2), surah al-Fajr (ayat 1-2) dan surah as-Syams (ayat 1-2). Perkara ini menjadi bukti kepada kita akan kepentingan pengurusan masa di dalam Islam.
Kepentingan masa sekiranya tidak dimanfaatkan nescaya akan mendedahkan
manusia kepada kerugian dalam hidupnya sebagaimana ayat yang telah
dibaca pada muqaddimah khutbah ini yang bermaksud:
“Demi
masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang
beriman dan beramal soleh. Dan mereka pula berpesan-pesan dengan
kebenaran, serta berpesan-pesan dengan kesabaran”. (Surah al-Asr : ayat
1-3).
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Oleh itu, janganlah kita melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah
kerana mengabaikan masa dengan melakukan kerja-kerja yang tidak
bermanfaat boleh membawa kebinasaan kepada diri kita sendiri, seperti
berborak-borak, asyik melayari facebook dan berwasap ketika mendengar
khutbah, melepak berjam-jam di kedai kopi, pusat-pusat hiburan, pasaraya
dan lain-lain.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam menguruskan masa bekerja pula,
konsep Fiqh Awlawiyyat perlu diterapkan. Fiqh Awlawiyyat menekankan konsep menetapkan keutamaan dalam membuat perancangan kerja.
Dr. Yusuf al-Qardhawi telah mentakrifkan Fiqh Awlawiyyat (memahami keutamaan) sebagai
‘Menetapkan
sesuatu pada martabatnya. Tidak mengkemudiankan apa yang perlu
didahulukan atau mendahulukan apa yang dikemudiankan. Dan tidak
mengecilkan perkara yang besar serta membesarkan perkara yang kecil’.
Berdasarkan Fiqh Awlawiyyat, setiap tugas boleh diukur keutamaannya berdasarkan tiga perkara iaitu,
Ad-Dharuriyyat, Al-Hajiyyat dan At-Tahsiniyyat. Contohnya :
- Bagi perkara-perkara dan tindakan yang dianggap sebagai AdDharuriyyat,
ia adalah perkara yang sangat penting dan perlu dilaksanakan dengan
segera. Contohnya berpakaian menutup aurat, mencari makanan halal dan
memiliki rumah perlindungan.
- Bagi perkara-perkara dan tindakan yang dianggap sebagai AlHajjiyyat,
ia adalah perkara yang penting dan sekadar memerlukan perhatian.
Contohnya berpakaian kemas, memakan makanan berzat dan berkhasiat dan
memiliki rumah yang telah siap dengan pintu dan tingkapnya.
- Bagi perkara-perkara dan tindakan yang dianggap sebagai AtTahsiniyyat,
ia adalah perkara yang kurang utama dan tidak segera. Contohnya memilih
pakaian cantik, hidangan makanan yang sempurna, rumah yang dilengkapi
dengan kipas, karpet, kusyen dan lain-lain.
Dengan cara ini, kita akan memberikan keutamaan kepada perkaraperkara
yang perlu diberikan keutamaan terlebih dahulu. Kemudian barulah
diselesaikan perkara-perkara yang lain.
Justeru, kita hendaklah menguruskan masa dengan baik mengikut
keutamaan-keutamaannya. Dan dalam merancang pengurusan masa, kita
mestilah mengutamakan ibadah yang wajib dan diikuti dengan yang lain.
Marilah kita bersama-sama memastikan agar ibadah-ibadah fardhu ini
diutamakan berbanding dengan urusan-urusan yang lain. Sekiranya kita
terlalu sibuk dengan urusan dunia dan memandang remeh urusan ibadah,
hati tidak akan menjadi tenang dan berasa cukup dengan apa yang ada.
Ingatlah, bahawa masa yang berlalu tidak akan berulang kembali.
Uruskanlah masa dengan baik agar dunia dapat dijadikan sebagai ladang
yang subur di akhirat nanti. Sebagaimana hadis daripada Ibnu Abbas RA
bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Dua nikmat yang banyak dilupakan oleh manusia, iaitu nikmat sihat dan waktu lapang”. (Riwayat al-Bukhari).
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Antara pengajaran yang dapat diambil daripada khutbah ini adalah:
- Umat Islam mestilah memelihara masa kerana masa itu adalah umur bagi kehidupan kita.
- Dalam merancang pengurusan masa, umat Islam hendaklah bijaksana
dalam menentukan kerja-kerja yang lebih penting dan utama untuk
dilaksanakan.
- Janganlah dibazirkan masa dan umur kita kerana akan merugikan diri kita sendiri ketika di dunia dan di akhirat.
Justeru, kita perlu mengguna pakai Fiqh Awlawiyyat dalam menguruskan
masa iaitu dengan memberikan keutamaan kepada perkara-perkara yang
penting terlebih dahulu. Kemudian barulah diselesaikan perkara-perkara
yang lain mengikut keutamaannya.
sumber: jais
Semoga kita semua menghargai masa kerana setiap detik yang berlalu itu
tidak akan berulang lagi... Jangan sia-siakan masa dan penuhi masa kita
dengan perkara-perkara yang berfaedah dan bermanfaat agar beroleh
keberkatan serta rahmat dunia dan diakhirat.